SELAMAT DATANG

MOTTO

MEMBUDAYA AMALAN KITAR SEMULA

Hasil kajian Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam mendapati kesedaran rakyat negara ini untuk melakukan kitar semula kertas akhbar masih lagi pada tahap kurang memberangsangkan iaitu sebanyak 40 hingga 45 peratus saja.

Peratusan ini juga menggambarkan tahap kesedaran berkaitan amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat di negara ini masih lagi jauh berbanding negara membangun lain.

Bukan itu saja, tahap kesedaran kitar semula mahupun menjaga alam sekitar masih sukar dipertingkatkan walaupun pelbagai program sudah dilaksanakan oleh kerajaan atau badan bukan kerajaan bagi membudayakan amalan ini di Malaysia.

Malah, kegagalan membudayakan amalan kitar semula ini juga mengakibatkan masalah seperti pencemaran sampah-sarap dan kepupusan tumbuhan hijau yang kian berleluasa.

Jumlah sampah yang masuk ke tapak pelupusan sampah turut semakin bertambah pada setiap hari dan ternyata situasi ini amat menyedihkan. Terdapat individu yang menyedarinya tetapi lebih ramai yang tidak mengendahkannya walaupun mereka mengetahui kesan masalah ini.

Menyedari keadaan yang semakin tenat, Estee Lauder Companies (ELC) Malaysia bersama pusat beli-belah Mid Valley Megamall tampil memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan mengekalkan keindahan alam.

Ia dilaksanakan melalui kempen Beautiful Earth yang diadakan buat kali kelima tahun ini sempena sambutan Bulan Bumi 2013.

Kempen komuniti ini antara lain menjadi tanda komitmen mereka yang bukan saja menyediakan penjagaan kecantikan kepada masyarakat tetapi turut membantu mencantikkan bumi.

Memberi fokus utama mendidik orang ramai terutama golongan muda bermula daripada anak kecil mengenai kepentingan menjaga alam sekitar, konsep kitar semula dijadikan asas kempen berkenaan.

Menerusi mesej, kitar semula bermula daripada kecil dan sekarang, ELC juga menyokong usaha Persatuan Alam Sekitar Malaysia (MNS) yang sentiasa aktif mengadakan program kemasyarakatan untuk menggalakkan orang ramai melakukan perubahan demi memelihara serta memulihara alam sekitar.

Pengarah Urusan ELS Malaysia, Paul Slavin berkata, pihaknya berbangga dapat meneruskan tradisi berkenaan memandangkan ia sudah berada di negara ini sejak 26 tahun lalu dan di Malaysia, pihaknya secara aktif menyokong projek yang melindungi ekologi dan kesejahteraan sosial negara ini.

“Bagi terus memupuk kesedaran hijau dalam kalangan pekerjanya, Estee Lauder Companies juga mengadakan hari tanpa kertas di mana semua pencetak dalam syarikat ditutup dan pekerja digalakkan untuk mengadakan ‘mesyuarat hijau’ tanpa kertas.

“Sekiranya ada pekerja yang membawa kertas, mereka akan disuruh meninggalkan bilik mesyuarat,” katanya.

Kempen berkenaan turut disokong oleh semua jenama di bawah kumpulan seperti Aramis, Bobbi Brown, Clinique, DKNY Fragrances, EstÈe Lauder, Lab Series Skincare for Men, La Mer, MAC., Origins, Tommy Hilfiger Fragrances dan Zegna Fragrances selain HSBC Bank Malaysia.

SUMBER: http://www.hmetro.com.my/articles/Membudayaamalankitarsemula/Article

No comments:

Post a Comment